Laptop ✔
Microsoft Word ✔
Adobe Acrobat Reader ✔
Pembaca sasaran ✔
Persiapan awal sudah dilakukan, masa untuk mula menulis tapi nak tulis pasal apa?
Berjam-jam memikirkan tajuk ebook tetapi idea tidak muncul-muncul. Anda tutup laptop, pergi minum kopi, rehat santai, sambung esok sajalah bisik anda kepada diri sendiri. Datang hari esok, anda termangu merenung skrin laptop. Begitu juga pada hari lusa, tulat.. minggu depan.. sedar tak sedar, sudah berminggu-minggu anda masih tersekat memikirkan topik apa yang mahu ditulis.
Inilah masalah yang biasa dialami oleh penulis ebook, terutama mereka yang baru mula berjinak-jinak dengan penulisan ebook. Walaupun kemahiran menulis adalah penting dalam proses penulisan ebook, namun yang selalu menjadi penghalang untuk memulakan bisnes ebook ini adalah proses memilih topik dan tajuk, bukannya kemahiran menulis.
Poin utama yang anda perlu faham tentang bisnes ebook ialah orang ramai membeli ebook kerana mereka mahukan maklumat yang ada di dalam ebook. Anda sudah kenal siapa pembaca sasaran anda, anda sudah tahu apa yang mereka mahu jadi tulis saja apa yang mereka mahu baca.
Jika artikel sebelum ini kami telah jelaskan apa itu ebook, apa yang anda perlu buat buat sebelum mula menulis ebook, kali ini kami mahu kongsi dengan anda 4 teknik mencari idea topik ebook.
Teknik #1 – Mahir dan Minat
Setiap orang ada kemahiran dan minat masing-masing.
Cuba anda senaraikan sekurang-kurangnya 10 perkara yang anda mahir dan minat dalam kehidupan anda. Daripada senarai itu, pilih 3 perkara yang anda rasa anda tahu secara mendalam, yang anda sangat suka. Kemudian daripada top 3 ini, pilih 1 yang anda boleh ulas atau huraikan dengan yakin dan rasa teruja untuk bercakap mengenainya.
Teknik #2 – Selesaikan Masalah
Tahukah anda, ebook jenis penyelesaian masalah adalah antara ebook yang paling disukai ramai?
Cuba anda fikirkan, apa perkara yang sering mengganggu aktiviti harian anda? Apa perkara yang banyak menyusahkan anda? Lihat juga di sekeliling anda, apa permasalahan yang dihadapi oleh ramai orang?
Kita selalu diingatkan supaya sentiasa berfikiran positif, tetapi dalam konteks ini, walaupun bunyinya janggal, anda terpaksa berfikir secara negatif untuk seketika supaya anda dapat mengenal pasti masalah yang mengganggu hidup anda dan juga orang lain.
Setelah anda senaraikan masalah-masalah yang ada, anda switch semula kepada fikiran positif dan senaraikan pula penyelesaian kepada masalah-masalah tersebut.
Teknik #3 – Cerpen dan Novel
Anda suka bercerita?
Jika ya, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk menulis cerpen atau novel dalam bentuk ebook.
Apa beza cerpen dan novel?
Cerpen adalah singkatan kepada cerita pendek. Perbezaan utama cerpen dan novel adalah pada bilangan patah perkataan. Cerpen lebih sedikit jumlah perkataan berbanding novel, sekitar 5,000 hingan 20,000 patah perkataan. Watak cerpen lebih sedikit daripada watak novel. Fokus cerpen hanya pada watak utama, manakala novel pula luas jangkauannya kerana plot yang lebih kompleks.
Antara genre yang popular adalah kisah seram dan kisah romantis. Anda boleh pilih untuk menulis cereka (cerita rekaan) atau berdasarkan kisah benar. Pastikan anda buat penafian pada mukasurat awal ebook anda tentang ini.
Teknik #4 – Adaptasi
Adaptasi adalah teknik di mana anda memberi nafas baru kepada topik ebook atau apa-apa jenis produk informasi sedia ada. Anda persembahkan semula topik berkenaan dalam bentuk yang lebih segar dan menarik sama ada dari segi susunan konten, penggunaan ayat dan juga grafik.
Kami harap teknik-teknik yang kami jelaskankan di atas dapat memudahkan dan memendekkan proses pemilihan topik dan tajuk ebook anda supaya anda tidak tersekat terlalu lama pada fasa ini.
>>> Free Download Ebook & Video Tutorial Ordersini <<<