Tangan Menggigil? Ini Antara 10 Tanda FIZIKAL Anda Menghidap Penyakit Anxiety!

Tangan Menggigil? Ini Antara 10 Tanda FIZIKAL Anda Menghidap Penyakit Anxiety!

Anda sukar tidur malam, tangan terketar-ketar dan kerap muntah selepas makan? Ini semua merupakan tanda-tanda penyakit anxiety disorder, sejenis penyakit mental yang boleh menyebabkan kesukaran untuk menjalani kehidupan secara normal. Penyakit anxiety juga boleh membuatkan anda sesak nafas dan rasa penat sepanjang masa.

 

Walaupun tergolong dalam penyakit mental, simptom anxiety juga boleh muncul secara fizikal. Jika ia tidak diubati, masalah ini boleh merendahkan kualiti hidup pesakit dan membuatkan mereka tertekan kerana rasa gelisah sepanjang masa.

 

Ingin tahu apakah simptom fizikal masalah kegelisahan? Jom ikuti penerangan kami dalam artikel di bawah.

 

10 tanda-tanda penyakit anxiety disorder

Tidak dinafikan, anxiety boleh menyebabkan beberapa simptom fizikal. Malah, disebabkan penghasilan hormon stres yang lebih tinggi daripada biasa, hampir semua sistem badan akan merasai impak negatifnya.

Cuba bayangkan, apa yang anda akan lakukan jika dikejar anjing? Pasti anda akan lari menyelamatkan diri bukan? Begitu jugalah dengan mereka yang menghidap anxiety.

 

Apabila seseorang mula rasa gelisah, tindak balas lawan atau lari mereka akan diaktifkan. Ini merupakan satu respons badan yang akan berlaku secara automatik tatkala kita berada dalam bahaya. Antara tanda fizikal anxiety ialah:

 

1. Jantung selalu berdebar

Menurut National Institute of Mental Health (NIMH), jantung yang berdebar lebih laju daripada biasa merupakan salah satu tanda kebimbangan.

Kajian menunjukkan, individu yang sedang mengalami tekanan perasaan akan menghasilkan hormon adrenalin. Hormon ini akan menyebabkan jantung mengepam dengan lebih pantas.

 

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, tindak balas lawan atau lari pesakit akan diaktifkan ketika mereka rasa gelisah atau bimbang. Akibatnya, jantung pesakit akan berdegup dengan laju tanpa sebab.

 

2. Sering sesak nafas tanda penyakit anxiety

 

Penghidap anxiety akan mengalami hiperventilasi kesan daripada degupan jantung yang terlalu pantas. Hiperventilasi akan menyebabkan pernafasan menjadi laju dan mungkin akan membuatkan pesakit sesak nafas.

 

Apabila kita bernafas, kita akan menyedut oksigen dan menghembus karbon dioksida. Namun, jika kita bernafas terlalu laju, tahap karbon dioksida dalam darah akan berkurang untuk memastikan badan mendapat lebih banyak oksigen. Sebab itulah, pesakit anxiety akan nampak ‘kepenatan’ umpama baru selesai berlari!

 

Latihan pernafasan amat penting untuk mereka yang menghidap masalah anxiety. Dengan pernafasan yang betul, pesakit boleh bernafas dengan perlahan dan menggunakan diafragma untuk lebih relaks dan bertenang.

 

3. Rasa penat sepanjang masa

 

Selain itu, rasa penat yang berpanjangan juga boleh menjadi petanda anxiety. Rasa bimbang dan gelisah sepanjang masa boleh menyebabkan badan kita sentiasa berada dalam keadaan ‘berjaga-jaga’.

 

Kebimbangan yang dialami juga boleh menyebabkan pesakit sukar untuk tidur dan membuatkan keletihan yang berlaku menjadi bertambah serius.

 

4. Sukar tidur malam
 

Jika anda sukar tidur, atau sering terjaga tengah malam dan tidak boleh tidur semula, ini mungkin berlaku disebabkan penyakit anxiety. Tahap hormon stres dalam badan yang terlalu tinggi membuatkan pesakit sukar untuk relaks dan tidur lena.

 

Masalah ini akan menjadi semakin teruk jika pesakit mengambil kafein pada keesokan harinya untuk kekal berjaga. Malah, simptom anxiety juga akan menjadi lebih teruk disebabkan kopi.

 

5. Otot rasa kejang dan sakit disebabkan penyakit anxiety

 

Otot manusia akan mengeras dan menjadi kejang sebagai respons semula jadi terhadap stres. Malah, mereka yang sering tertekan juga cenderung ‘mengeraskan’ otot mereka tanpa sedar dalam satu tempoh masa yang panjang.

 

Oleh sebab itu, penghidap anxiety selalunya akan rasa sakit pada kawasan bahu, belakang badan dan juga leher.

 

Malah, ada juga yang akan mengetap gigi tanpa sedar dan menyebabkan kesakitan di sekitar rahang. Lama-kelamaan, pesakit boleh menghidap migrain atau sakit kepala disebabkan terlampau stres.

 

6. Tidak sedap perut

 

Perut kembung, cirit-birit dan kerap sendawa juga merupakan tanda anxiety. Walaupun nampak biasa, semua simptom ini boleh mengganggu kehidupan pesakit jika ia tidak dirawat secepat mungkin.

 

7. Penyakit anxiety menyebabkan anda rasa loya

 

Tidak dinafikan, masalah kegelisahan boleh memberikan kesan buruk pada sistem penghadaman seseorang.

 

Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal General Hospital Psychiatry, individu yang mengalami anxiety mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk muntah atau rasa loya selepas makan.

 

8. Tidak berhenti berpeluh

Disebabkan rasa gemuruh dan gelisah yang berpanjangan, pesakit akan kerap berpeluh lebih-lebih lagi di kawasan tapak tangan atau ketiak.

 

Simptom ini juga akan membuatkan penghidap anxiety rasa runsing dan rendah keyakinan diri. Makin memburukkan keadaan, pesakit juga mungkin akan alami masalah bau badan yang teruk.

 

9. Terlebih makan atau kurang selera makan

 

Masalah kebimbangan juga boleh membuatkan anda terlebih makan atau kurang selera makan. Ada orang yang tidak lalu makan disebabkan rasa stres yang berpanjangan.

 

Namun, ada juga yang akan ‘craving’ makanan yang manis dan berlemak disebabkan stres yang dialami!

 

10. Jari atau tangan menggigil

 

Ini merupakan antara tanda-tanda penyakit anxiety disorder. Kadangkala, tangan atau jari akan mula menggigil tanpa sebab. Menurut NIMH, ini merupakan salah satu kesan sampingan peningkatan hormon stres dalam badan.

 

Kondisi ini juga boleh mendatangkan bahaya, lebih-lebih lagi jika ia berlaku ketika anda sedang memandu.

 

Jika anda mempunyai anxiety, cepat-cepatlah berjumpa doktor untuk rawatan susulan. Dengan bantuan pakar, anda dapat belajar cara yang terbaik untuk mengatasi masalah kebimbangan.

Credit Content Hello Doktor

 

Semoga Bermanfaat, Sila Share
 
NAK ATASI MASALAH GASTRIK GERD? KLIK SINI