Apa Itu Insomia?

Apa Itu Insomia?

 

Epidemiologi

 

Masalah insomnia adalah biasa dikalangan warga emas. Kekerapan insomnia adalah 40-50% daripada warga emas berumur 60 ke atas dan lebih pada golongan wanita berbanding lelaki.

 

Definasi Insomnia

 

Insomnia adalah perasaan subjektif di mana seseorang itu merasakan  bahawa beliau kekurangan tidur atau rasa tidak puas walaupun telah mendapat peluang untuk tidur dengan secukupnya.

 

Masalah tidur di kalangan warga emas adalah disebabkan perubahan aras hormon badan dan perubahan kitaran tidur. Buat masa ini tiada standard yang menyatakan bahawa jumlah jam tidur yang dianggap mencukupi bagi warga emas. Masalah tidur adalah berasaskan kepada keluhan seseorang itu mengenai ketidakcukupan tidur atau terdapat mengganggu kepada fungsi harian mereka.

 

Tanda tidur yang mencukupi adalah apabila seseorang itu bangun dari tidur dengan merasa bertenaga dan puas.

 

Fisiologi tidur berubah dengan peningkatan umur. Kanak-kanak biasanya memerlukan tidur yang lebih banyak berbanding dengan orang dewasa. Jadi bolehlah dikatakan bahawa insomnia bukanlah masalah jumlah jam seseorang itu tidur, tetapi setakat mana tidur itu dapat merehatkan diri dari segi fizikal dan minda.

Pengkelasan Insomnia

 

Insomnia Sementara- Berlangsung untuk beberapa hari

 

Insomnia sementara berlaku sekiranya terdapat perubahan jangka pendek kepada keadaan persekitaran dan/atau emosi seperti melancong, kemasukan ke hospital atau kegairahan. Biasanya, gelaja masalah tidur ini akan hilang selepas beberapa hari dan tidak sepatutnya menyebabkan masalah tidur yang serius.

 

Insomnia Jangka Pendek- Berlangsung daripada beberap hari sehingga 3 minggu

 

Insomnia jangka pendek biasanya menyusuli kejadian besar yang berlaku dalam kehidupan seseorang seperti kematian ahli keluarga/saudara yang dekat, dibuang kerja atau penceraian. Gejala masalah tidur mungkin akan berlanjutan lebih daripada beberapa hari, tetapi tidak sepatutnya berlanjutan lebih daripada 3 minggu.

 

Insomnia Kronik- Berlangsung daripada beberapa bulan sehingga beberapa tahun

 

Insomnia kronik berlaku sekiranya insomnia jangka pendek tidak ditangani dengan baik.

Insomnia kronik mungkin akan berlanjutan daripada beberapa bulan sehingga beberapa tahun. Gelaja masalah tidur mungkin akan menjadi lebih teruk disebabkan oleh keresahan, pengambilan ubat-ubatan, penyalahgunaan alkohol/ dadah dan masalah perubatan lain.

Adalah amat penting untuk mengenalpasti punca insomnia jangka panjang sekiranya masalah  gangguan tidur ini hendak dikendalikan dengan baik.

 

Tanda-tanda dan gejala insomnia               

                                   

Sukar untuk  mula tidur (jumlah masa yang diambil daripada masa melelapkan mata sehingga masa mulanya tidur)

Bertambahnya masa tidur yang tidak nyenyak

Kerap terjaga lebih awal daripada masa bangung biasa

Merasa letih atau mengantuk di waktu siang menyebabkan kerap tidur di siang hari

 

Kesan dari tidur yang terganggu

 

Letih fizikal dan mental, resah dan panas baran

Peningkatan risiko kemalangan

Kemerosotan keupayaan ingatan, perhatian dan prestasi aktiviti harian

Peningkatan risiko jatuh,

Peningkatan kadar kematian

 

Pencegahan dan Rawatan Insomnia

 

Rawatan bukan ubatan

 

Pendidikan kesihatan mengenai perubahan tidur pada wargaemas dan amalan tidur yang baik adalah mencukupi untuk rawatan awal bagi masalah tidur warga emas. Sekiranya tiada masalah perubatan yang dikesan melalui sejarah perubatan dan pemeriksaan, nasihat amalan tidur yang baik merupakan langkah awal yang terbaik.

 

Nasihat untuk amalan tidur yang baik ialah seperti berikut:

 

Mengamalkan waktu tidur dan waktu bangun tidur yang tetap

Kurangkan tidur waktu siang

Melakukan senaman harian tetapi elak daripada waktu berdekatan dengan masa tidur

Gunakan tempat tidur untuk tidur atau seks sahaja

Jangan membaca atau menonton televisen di tempat tidur

Jangan makan malam yang terlalu berat sebelum tidur

Amalkan amalan tetap sebelum tidur (cth: berus gigi dan basuh muka)

Memakai pakaian yang selesa semasa tidur

Mendapat pendedahan kepada cahaya yang mencukupi pada siang hari

 

Rawatan ubatan
 

Dapatkan nasihat dari doktor sekiranya masalah tidur berterusan. Doktor akan menilai dan melakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti masalah insomnia yang dihadapi. Pengunaan pil tidur seharusnya dipandu dan digunakan sahaja sekiranya terdapat keperluan dari segi perubatan. Pengunaan ubat yang silap mungkin akan melaratkan masalah tidur dan menyebabkan masalah bergantung kepada ubat-ubatan untuk tidur.

Credit Content  myhealth.gov.my

Semoga Bermanfaat, Sila Share
 
Khairul Iqbar Afyaa Trusted Seller